Khamis, Julai 23, 2009

Kru Majalah Kuntum Melawat SK LKTP Medoi













Khamis, 23 Julai 2009 yang lalu, Syarikat Penerbitan Star Publications Malaysia Berhad, peneraju utama majalah Kuntum telah menjalankan suatu aktiviti menarik bersama dengan Pusat Sumber SK LKTP Medoi. Program ini julung-julung kali diadakan di sekolah ini dan sememangnya dinanti-nantikan oleh warga sekolah. Program ini bermula pada jam 11.oo pagi dan berakhir kira-kira jam 1.00 tengah hari.

Di antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti sesi mengenali majalah Kuntum, kuiz, sesi bergambar dan acara penyampaian hadiah. Murid-murid juga telah mengambil kesempatan ini untuk mendekati maskot majalah Kuntum iaitu Si Comel. Suasana menjadi gamat apabila murid-murid menyedari kehadiran Si Comel. Bukan murid sahaja yang histeria dengan kehadiran Si Comel, cikgu juga turut merebut peluang untuk mengabadikan kenangan bersama Si Comel.
Pusat Sumber Sekolah dan Unit Ko-Kurikulum SK LKTP Medoi juga telah mengambil kesempatan ini untuk menjalankan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang bagi aktiviti Kempen Membaca dan Mencari Harta Karun.

Rabu, Julai 01, 2009

TERPAHAT DALAM SEJARAH...

Pasukan Memanah(Archery Club) SK LKTP Medoi sekali lagi mencipta sejarah apabila pasukan memanah bimbingan En. Zulkaply Mohamed telah berjaya mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan yang diadakah di negeri di bawah bayu, Sabah. Seramai 2 orang peserta perempuan bawah 12 tahun telah membantu negeri Johor untuk muncul juara keseluruhan Pertandingan Memanah Peringkat Kebangsaan 2009.
Pasukan yang dibentuk sejak lebih 5 tahun itu telah melahirkan ramai pemanah peringkat negeri dan kebangsaan. Inilah satu-satunya bidang sukan yang masih diungguli oleh SK LKTP Medoi. Semoga kejayaan demi kejayaan akan terus diraih di masa hadapan. Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan memanah yang telah mengharumkan nama sekolah, daerah Segamat dan Negeri Johor.
Pada 20-22 Julai ini, dua orang murid Tahun 6, Nur Syahirah Mohd Halim dan Nor Azira Nordin telah dipanggil mengikuti latihan pusat & pemilihan peserta peringkat kebangsaan yang diadakan di Kompleks Sukan Bukit Jalil. Warga sekolah sentiasa mendoakan kejayaan mereka dalam bidang sukan yang versetile.
SK LKTP MEDOI - SEKOLAH RINTIS SUBJEK KSSR PSV





















SK LKTP Medoi merupakan sekolah paling bertuah di Daerah Segamat kerana menjadi satu-satunya sekolah rintis subjek PSV dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Dua kali pemantauan telah dijalankan ke atas guru yang terbabit iaitu Cik Siti Suhaidah bt. Mat Ali, yang mengajar subjek tersebut di Tahun 1. Pemantauan kali pertama telah dilakukan oleh seorang nazir manakala pada pemantauan kali kedua seramai tiga orang nazir dengan diiringi oleh seorang pegawai PPD Segamat iaitu En. Azmi b. Sukiman. Guru Besar SK LKTP Medoi juga turut serta menemani para nazir menilai kesesuaian subjek tersebut untuk dilaksanakan di Tahun 1 pada Tahun 2010. Subjek PSV ini walaupun nampak mudah untuk dilaksanakan namun kemahiran yang perlu diterapkan agak tinggi. Salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid ialah mewarna dengan warna air dan menggunakan gam (UHU) untuk membuat kraftangan. Tujuan subjek ini diajar di sekolah rendah adalah untuk menarik minat murid hadir ke sekolah dan menjadikan sekolah tempat yang menarik dan menyeronokkan. Tahniah Cikgu Siti Suhaidah kerana menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan KKSR rintis di sekolah ini.